
PUTRAJAYA: Seramai enam pelajar Orang Asli menjadi
kumpulan pertama masyarakat itu ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran
ke luar negara melalui kerjasama strategik antara Jabatan Hal Ehwal
Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pelajar berkenaan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 menerima surat tawaran itu daripada
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
pada satu majlis di sini hari ini.
Mereka ialah Nur Fatima Emalin Nor Fadzil, Mohamad Sahibuzzaman
Sulaiman, Barceloni Asli Chiu, Teo Jia Fuo, Farah Adibah Badarudin dan
Mohd Nazrul Rahim.
Mereka akan mengikuti kelas persediaan tajaan Mara selama dua tahun
di Kolej Mara sebelum dihantar melanjutkan pelajaran di pusat pengajian
sama ada di Australia, New Zealand, India, Republik Czech dan Poland.
Mohd Shafie berkata asalnya tawaran itu diberikan kepada tujuh
pelajar Orang Asli tetapi seorang daripada mereka menolak tawaran itu.
Tajaan itu sudahpun melebihi sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara
(NKRA) kementerian iaitu seramai lima orang bagi tempoh 2010 hingga
2012, katanya kepada pemberita.
Malah beliau berkata kementerian bersedia memberi peluang kepada
lebih banyak pelajar masyarakat itu yang memperoleh pencapaian cemerlang
dan memenuhi syarat yang ditetapkan kerana yakin pendidikan dapat
membantu masyarakat itu keluar daripada kepompong kemiskinan.
Kementerian juga mensasarkan penyertaan Orang Asli ke institusi
pengajian tinggi dalam negara pada tahun ini adalah 112 orang, tahun
2011 seramai 117 orang dan pada 2012 diharapkan akan meningkat kepada
122 orang, katanya.
Sehingga bulan ini, katanya sejumlah 312 pelajar Orang Asli sedang
menuntut di IPTA, di mana empat daripadanya adalah pelajar peringkat
matrikulasi, 35 pelajar peringkat sijil, 118 pelajar peringkat diploma
dan 155 lagi pelajar peringkat ijazah sarjana muda.
Sementara itu, Nur Fatima Emalin, 18, dari Kampung Bukit Rangin,
Kuantan, Pahang berkata beliau dan keluarga amat terkejut dan berterima
kasih kepada JHEOA dan Mara kerana memilihnya untuk menerima tajaan itu.
Mengambil kursus kejuruteraan kimia, beliau yang akan melanjutkan
pelajaran ke Australia atau New Zealand berkata peluang itu akan
digunakan sebaik mungkin supaya dapat menyumbang untuk menaikkan taraf
masyarakat Orang Asli yang lain.
"Saya nak buktikan kepada semua bahawa Orang Asli juga boleh belajar
ke peringkat lebih tinggi, boleh pergi ke luar negara dan boleh berjaya
macam orang lain.
"Saya harap saya akan jadi contoh kepada semua kawan saya supaya
mereka juga boleh berjaya macam saya," katanya yang mendapat keputusan
9A.
Mohamad Sahibuzzaman Sulaiman, 18, dari Kampung Bumiputra Dalam,
Rengit, Batu Pahat, Johor berkata beliau dan keluarga berbangga kerana
mendapat peluang menjejakkan kaki ke luar negara, lebih-lebih lagi
apabila belum ada orang dari kampungnya pernah berbuat demikian.
"Cabaran yang paling besar adalah untuk menguasai bahasa Inggeris
memandangkan ia merupakan bahasa pengantar di sana," katanya yang
mengambil kursus perakaunan dan akan melanjutkan pelajaran ke Australia.
Mendapat 7A dalam peperiksaan SPM yang lalu, bekas penuntut Sekolah
Menengah Kebangsaan Tun Sardon, Rengit ini berkata ibu bapa beliau juga
memberi sokongan penuh untuk beliau meneruskan pelajaran.
Barceloni Asli Chiu, 18, dari Kampung Orang Asli Gedung Siam, Pahang
berkata beliau akan cuba menimba pengalaman sebanyak mungkin semasa
berada di negara orang sebelum pulang ke negara ini dan bekerja sebagai
pendidik.
Beliau yang mengambil kursus kejuruteraan kimia dan akan melanjutkan
pelajaran ke Australia atau New Zealand berkata kerjaya itu menjadi
pilihan supaya beliau dapat membantu mendidik masyarakat orang Asli
untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.-BERNAMA