Followers

Luv u

Daisypath Anniversary tickers

Ahad, 11 Disember 2011

~Satu maut, sembilan parah~


BERA – Hasrat sebuah keluarga berketurunan Orang Asli untuk menerima sumbangan persekolahan tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Simpang Kerayong - Purun – Kepayang, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan dua kereta jenis Nissan Pulsar berwarna hijau dan Proton Satria berwarna merah.

Pemandu kereta Proton Satria, Mohd Alif Abu, 19, maut di tempat kejadian, sementara sembilan mangsa lain cedera parah.

Seorang mangsa, Norlijah Lee Nai Kown, 32, berkata, kereta Proton Satria itu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kereta dipandu suaminya, Nordin Anjah, 34.

Menurutnya, suaminya tidak sempat berbuat apa-apa kerana kereta itu terlalu laju.

“Saya nampak kereta itu memasuki arah bertentangan dan berpusing-pusing sebelum merempuh kereta kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Norlijah sempat menghubungi saudara-mara dan kenalan untuk memaklumkan kejadian itu kerana bimbangkan keadaan suaminya yang tersepit dan ahli keluarga lain yang cedera parah.


Dakwa kereta dipandu laju

Sementara itu, seorang saksi, Nora Huing, 36, berkata, mereka termasuk keluarga mangsa dalam perjalanan ke Kompleks Rakan Muda, Kerayong untuk menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jalinan Murni.

Menurutnya, semasa kejadian, hampir semua penduduk dari Batu 10, Kampung Ibam secara konvoi sama ada menaiki kereta atau motosikal menuju ke tempat sama.

“Kami berkonvoi tiga kereta. Kereta mangsa berada di belakang. Saya perasan kereta merah itu dipandu laju dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat.

“Bila menoleh, saya dapati kereta itu merempuh kereta mangsa dengan bahagian depan remuk menyebabkan pemandu dan penumpang di hadapan tersepit,” katanya.


Bantu selamat mangsa

Manakala, Ismail Yusuf, 57, berkata, pada awal kejadian, semua mangsa tidak mampu keluar dari kenderaan masing-masing.

Katanya, sehubungan itu, dia bersama beberapa orang awam yang tiba di tempat kejadian segera mengeluarkan mangsa.

“Saya cuba mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Satria, tetapi pintu tidak dapat dibuka walaupun ditendang beberapa kali.

“Jadi, saya mengopak sedikit bahagian atas pintu sebelah pemandu untuk menarik keluar mangsa mengikut tingkap. Pada masa itu, semua mangsa masih hidup,” katanya.

Semua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar 32 sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk pemeriksaan lanjut.


Tiada kesan brek pada jalan

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam kejadian itu, kereta jenis Proton Satria dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki jalan bertentangan.

Menurutnya, mangsa bersama tiga penumpang lain berasal dari Felda Triang 1 dalam perjalanan ke arah Felda Kepayang, sementara sebuah lagi kereta jenis Nissan Pulsar dinaiki keluarga Orang Asli menuju ke arah Kerayong.

“Siasatan awal mendapati tiada kesan brek pada jalan di lokasi kejadian. Dipercayai kereta Proton Satria itu dipandu laju dan hilang kawalan.

“Dalam kejadian itu juga, dua mangsa di bahagian hadapan kereta Nissan Pulsar itu tersepit, sementara penumpang di bahagian belakang cedera parah,” katanya.

Mereka yang cedera parah ialah Nordin Anjah, 34 (pemandu Nissan Pulsar); Leboi Pendek, 54; Hor Pui Kuan, 14; Hor Pui Yee, 12; Norlijah Lee Nai Kwon, 32 dan anak perempuannya berusia 6 tahun, sementara maklumat mangsa yang menaiki Proton Satria masih belum diperoleh.

Mohd Zahid berkata, semasa kejadian, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus, rata dan kering.

“Semua mangsa dibawa ke Hoshas untuk rawatan susulan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Beliau turut memuji keprihatinan orang awam membantu mengeluarkan mangsa terutama kakitangan Klinik Kesihatan Purun yang kebetulan dalam perjalanan ke Hoshas dan sanggup berhenti untuk memberi rawatan kecemasan kepada semua mangsa.

sumber : sinar harian edisi pahang

3 000 yang rajin menaip:

korang memang rajin menaip..terbaeekk..

 

Key-Sah Are-Ku Ke??? Template by Ipietoon Cute Blog Design